Mencari perkara yang halal adalah menjadi tuntutan kepada setiap orang islam yang beriman terutama dalam persoalan makan-minum dan muamalah seharian. Pada masakini amat sukar bagi kita mengenalpasti perkara yang syubhah. Lantaran itu Islam telah memberi panduan bagaimana kita harus menangani persoalan yang berhubung perkara halal, haram dan syubhah. Renung-renunglah hadith di bawah :
Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran, yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya.
Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat, maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya.
Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati."
(Riwayat al-Bukhari no.52, Muslim no.1599 dan Abu Daud, no.3329,3330)